Assalamualaikum Semua
Selawat
dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab
al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.
Poin
awal di atas sebenarnya merujuk pada firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada
orang beriman ketika Allah mengutuskan di antara mereka seorang rasul dari golongan
mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan
(jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan
sesungguhnya sebelum (kedatangan nabi) itu, mereka berada dalam kesesatan yang
nyata.” (Ali ‘Imran:164)
Tafsir
al-Maragi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW diutus untuk membersihkan manusia dari
aqidah palsu dan akhlak buruk. Nabi juga mengajar mereka al-Kitab iaitu
al-Quran dan hikmah iaitu al-hadith. Mengajarkan mereka al-Quran bererti menganjurkan
para sahabat belajar membaca dan menulis. Kepandaian ini kemudiannya digunakan oleh
Rasulullah SAW untuk mengutuskan surat-surat mengajak raja dan pemimpin kabilah
kepada Islam sebagai suatu gerakan yang strategik.
Nabi
Muhammad SAW adalah Rasul terakhir yang diutus membawa mesej Islam yang
mempromosikan kerahmatan dan keselamatan buat sekalian alam. Sunnah dan sirah hidup
Baginda menjadi salah satu sumber penting dalam pengamalan ajaran Islam.
Malah
Baginda tidak menutur atau melakukan sesuatu, melainkan ia datang dari sumber wahyu.
Al-Quran menukilkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa
yang telah diwahyukan kepadanya” (an-Najm:3-4).
Dari
al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW ini terbitnya perincian kaedah dan hukum-hakam
tentang amalan seharian. Baginda turut menterjemahkan prinsip Islam dalam urusan
bermasyarakat dan bernegara. Apatah lagi dalam gerakan dakwah menyebarkan ajaran
Islam dan urusan mempertahankan Madinah sebagai daulah Islamiah.
Menuruti
jejak Rasulullah SAW, usaha yang gigih perlu dilakukan bagi menyuburkan syiar
Islam di dalam tubuh setiap individu Muslim dengan berpaksikan Rukun Islam yang
lima. Usaha ini wajar diteruskan dalam setiap tindak-tanduk urusan kehidupan lainnya.
Misalnya urusan jual beli, korporat, perhubungan masyarakat dan pentadbiran kerajaan,
yang seharusnya turut berpaksikan ajaran Islam.
Namun
apa yang lebih penting bagaimana umat mutakhir ini dapat mempelajari dan mengaplikasikan
pemikiran strategik Rasulullah SAW dalam mendepani cabaran semasa. Jika Rasulullah
SAW itu meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah Baginda sebagai sumber rujukan yang
lengkap, tentu di dalamnya terkandung prinsip-prinsip pemikiran strategik yang
dapat disesuaikan mengikut zaman.
Kini
tergantung kepada kitalah untuk meneliti sumber-sumber tersebut dan menggali seni
serta kaedah pemikiran strategik yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW
sehingga dapat menyebarkan Islam dengan gemilang. Nabi tidak meninggalkan kita dalam
keadaan teraba-raba, bahkan al-Kitab dan al-Hikmah (Sunnah dan Sirah) tersebut sudah
cukup untuk memandu kita jika ia ditekuni pengajarannya dengan bersungguh-sungguh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan