Peta Blog

Peta Blog

Khamis, 5 Mac 2015

Al-Quran Sumber Kekuatan Strategis

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Dalam artikel sebelum ini saya telah menyarankan al-Quran sebagai bahan bacaan utama buat seorang Muslim. Sudah pasti ia amat perlu dibaca bagi seorang strategis Muslim. Apakah dia al-Quran? Mengapa al-Quran dan bagaimana mahu mendampingi al-Quran?

Al-Quran ialah “Kalam Allah yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW beransur-ansur melalui malaikat Jibrail, berbahasa Arab, membacanya suatu ibadah, terhimpun dalam “mushaf” yang disampaikan secara “mutawatir”, bermula dari surah “al-Fatihah” hingga “an-Nas”.

Kandungan al-Quran adalah pelbagai; hukum-hakam, cerita silam, peringatan, pengajaran, khabar gembira, khabar buruk, pelajaran, petunjuk, rahmat, penawar. Ia kekal terpelihara dan relevan sehingga hari kiamat.

Al-Quran sendiri menerangkan tentang dirinya. Firman Allah SWT antaranya; “Alif laam miin. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” [Al-Baqarah (2) : 1-2]. “dan Demikianlah Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan Kami telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.” [Taha (20) : 113]

Mengapa kita baca al-Quran? Sudah tentu untuk meraih hidayah dan pelbagai manfaat lagi. Inilah asas bagi peneguhan jiwa dan unsur kerohanian yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, akhirnya mengukuhkan unsur lainnya dalam diri; jasmani, emosi dan intelek.

Allah SWT berfirman yang maksudnya “Hai manusia, Sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi pengajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” [Yunus (10): 57]. “Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” [Al-Israk (17) : 82]

Kita berharap dengan membaca al-Quran, Allah SWT mendidik kita, mendidik hati kita, mengajar kita, memberi pedoman dan kerahmatan. Bahkan al-Quran juga mampu mengukuhkan unsur jasmani, emosi dan intelek dalam diri. Bukankah kita mendambakan semua itu sebagai hamba Allah? Apatah lagi sebagai seorang strategis Muslim.

Bukankah dalam doa khatam al-Quran yang sering dibaca, bahkan dialunkan dalam nasyid memohon agar segala manfaat al-Quran itu diperolehi? Antaranya doa itu menyebutkan “Ya Allah Rahmatilah Kami dengan al-Quran,Jadikanlah ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat,Allah Ingatkan Kami Apa Yang Terlupa… Ajarkanlah Apa Yang Kami Tidak Ketahui, Kurniakanlah Dengan Membacanya, Sepanjang Malam dan Sepanjang Siang Hari, Dan Jadikanlah Ia Pembela Kami di Akhirat.”

Tiga rangkaian al-hadith yang berikut dapat memberikan kita motivasi mengapa sebagai seorang strategis Islam kita perlu menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan, Sabda Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh seumpamanya. Tidak aku katakan (Alif Lam Mim) itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf (Riwayat al-Tirmidzi)

“Dari Abi Umamah r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Bacalah olehmu akan Al-Quran, sesungguhnya dia datang pada Hari Kiamat kelak memberi syafaat kepada tuannya” (Riwayat Muslim) Ibn Abbas ra meriwayatkan, “Jibrail as satu ketika memberitahu Rasulullah SAW bahawa banyak fitnah akan pasti berlaku.” Rasulullah SAW bertanya “Apakah jalan keluar daripadanya, wahai Jibrail?” Dia menjawab “Kitab Allah.” (Riwayat Razin)

Jika selama ini kita terpana dengan pelbagai berita dan cerita kemukjizatan al-Quran, misalnya tidak dihanyutkan banjir, tidak rosak walaupun surau teruk ditembak dan lain-lain, namun apakah setakat itu kemukjizakatan al-Quran untuk dikagumi? Sesungguhnya manfaat dan kemukjizatan al-Quran itu amatlah besar, tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Marilah kita meraihnya walaupun setitis kemukjizatan tersebut dengan membacanya.

Lalu, bagaimana mahu mendampingi (membaca) al-Quran? Mari audit diri kita pada beberapa tahap pembacaan al-Quran berikut:
Tartil - Membaca baik kelajuan sederhana, bertajwid – makhraj, mad, dengung dan lain-lain.
Tadabbur - Membaca sambil memerhati maksud dan kehendak ayat
Tafakkur - Membaca dengan fikiran tenang, fikir keangungan Allah dan nasib diri, dan fikir untuk merealisasikan kehendak ayat
Ta’amul - Beramal dengan hukum & ajaran al-Quran serta menghayatinya

Marilah kita membudaya pembacaan al-Quran dalam diri, bertahap-tahap dan terus meningkatkan. Mungkin memulakan dengan sehari semuka al-Quran hinggalah sehari sejuz, mengikut kemampuan, InsyaAllah.

Wal-Allah ‘Alam. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan