Peta Blog

Peta Blog

Khamis, 5 Mac 2015

Persiapan Diri Seorang Strategis

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Satu persoalan pokok yang harus difikirkan dengan serius bagi seorang strategis ialah tentang persiapan diri. Apakah perkara-perkara yang seharusnya ada pada diri seorang strategis?

Mengambil pengajaran dari Seni Dakwah dan Peperangan Rasulullah SAW, Baginda membina para sahabat dan pejuang Islam ketika itu dengan meneguhkan aspek kerohanian mereka.

Perkara utama yang dipasakkan dalam diri mereka ialah aqidah tauhid yang kental; Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah. Itulah agenda tunggal Baginda selama 13 tahun sewaktu di Makkah dari fasa kerasulan hinggalah Hijrah.

Sekarang kita audit diri. Di manakah tahap keimanan dan ketauhidan kita? Bagaimanakah penyempurnaan rukun Islam kita? Apakah amalan-amalan kerohanian yang ditokok tambah lagi? Inilah suatu muhasabah diri yang sewajar dilakukan sebagai seorang strategis Muslim.

Sudah pasti elemen kerohanian sahaja tidak mencukupi. Jika kita mengambil model pembinaan insan yang syumul, ia tidak dapat lari dari model JERI; Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Justeru, seorang strategis harus mengambil kira soal pemantapan fizikal, emosi dan terutamanya INTELEK dirinya. Ini kerana fokus penulisan blog ini adalah soal pembinaan pemikiran dan pengetahuan untuk menjadi seorang strategis.

Kita lihat dalam peperangan Badar misalnya, pihak Musyrikin yang ditawan telah ditawarkan pembebasan jika mengajarkan 10 anak Muslim Madinah sehingga pandai membaca dan menulis. Inilah antara usaha strategik Rasulullah SAW dalam soal pembinaan intelek atau keilmuan.

Bagi saya dalam rangka membina keintelektualan seorang insan, seseorang itu mesti terus mencari ilmu dan membina kemahiran. Tiada jalan singkat selain MEMBACA, mengkaji dan berwacana ilmu pengetahuan.

Wahyu pertama pun jelas menggesa agar umat Islam “Membaca” (Iqra’). Firman Allah SWT “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”  [al-Alaq (96): 1 – 5]. Lalu apa yang harus dibaca?

Sebagai seorang strategis Islam, bacaan yang utama ialah AL-QURAN, dan diikuti dengan pembacaan ilmu pengetahuan yang lain. Sebagai seorang Muslim sudah semesti kita menduga al-Quran yang terutama, dan dalam artikel selanjutnya saya akan menerangkan mengapa ia yang diutamakan.

Inilah masanya untuk kita bersama-sama bangkit menjadi seorang strategis umat. Marilah membudayakan iqra’ dalam kehidupan yang singkat ini.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan