Assalamualaikum
Semua
Selawat
dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan
kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.
Penulisan
kali ini bertemakan “Penyelidikan Menurut Islam”.
Saya yakin bahawa “penyelidikan” adalah salah satu aktiviti penting menjana
keilmuan. Melalui penyelidikanlah fenomena alam dan kehidupan dapat diteroka lalu
ilmu-ilmu baharu dapat dicipta atau jumpai (discover)
untuk manfaat hidup manusia yang seterusnya.
Seperti
yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa al-Quran adalah sumber “kehidupan
manusia”; hidayah, ilmu, pedoman, peringatan, ubat dan sebagainya. Justeru
pesan keilmuan di dalam al-Quran menjadi asas kepada aktiviti-aktiviti keilmuan
termasuklah aktiviti “penyelidikan”.
PERTAMA ialah gesaan agar membaca, dan KEDUA media penyimpanan dan penyampaian ilmu ialah melalui pena dan
tulisan. Ini adalah aktiviti merekodkan apa juga data dan maklumat yang
diperolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia
daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan
manusia melalui pena dan tulisan.
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” [al-Alaq (96): 1 – 5].
KETIGA ialah berguru
mencari ilmu pengetahuan melalui pembelajaran. Selain pencarian ilmu
melalui pembacaan seperti yang ditegaskan di permulaan wahyu, pencarian ilmu
yang utama ialah dengan berguru. Misalnya kisah nabi Musa yang belajar dengan
nabi Khidir seperti diceritakan dalam surah al-Kahfi ayat 65 hingga 82.
Asasnya ialah belajar
dari mereka yang pakar tentang sesuatu perkara. Allah SWT berfirman yang
bermaksud “Maka bertanyalah kamu kepada
“Ahlu al-Dhikri” (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahuinya. [al-Anbiya’
(21): 7]
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang
bermaksud “(Al-Quran ini) sebuah kitab
yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang penuh
keberkatan untuk mereka memahami dengan
teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna (ulul al-bab) beringat mengambil
iktibar. [Sad (38): 29]
Ayat di atas mengisyaratkan pesanan keilmuan KEEMPAT ialah meneliti dan mengkaji bahan maklumat bertulis / berekod.
Al-Quran itu sendiri Al-Quran yang amat kaya dengan
asas-asas petunjuk untuk jumpaan ilmu-ilmu kehidupan yang baharu. Maka ia harus
dibaca agar dapat dipelajari, diteliti dan diaplikasikan isi kandungannya dalam
segenap ruang kehidupan.
Ini membawa kepada pesan KELIMA iaitu apabila membaca, gunakanlah
akal fikiran dan jadilah orang-orang
yang berakal (ulul al-bab), iaitu golongan yang mahu mengambil
pelajaran dari kitab al-Quran.
KEENAM – mengembara,
mencari dapatan maklumat baharu di lapangan kehidupan. Banyak data dan
maklumat baharu yang belum direkodkan berada di lapangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Oleh
itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan
melihat kesan-kesan yang tersebut – akan tergerak hati mereka untuk
memahaminya, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi
kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati
yang ada di dalam dada.” [al-Hajj (22): 46]
Seterusnya pesan keilmuannya ialah prinsip-prinsip
yang perlu ada apabila berfikir dan meneroka ilmu pengetahuan. Maka KETUJUH – gesaan berfikir (menyelidik) untuk mengukuh keimanan dengan
mengakui kehebatan ciptaan Allah SWT.
Seperti yang dibincangkan dalam firman Allah SWT
yang bermaksud “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran
malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat
Allah) bagi orang-orang yang berakal (ulul al-bab). “Iaitu orang-orang yang
mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring, dan mereka
memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata); Ya Tuhan kami, bukanlah
Engkau jadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
siksaan neraka.” (Ali ‘Imran: 190)
KELAPAN – gesaan menyelidik sebagai suatu proses pencarian kebenaran bagi memperjelaskan sebarang kekeliruan.
Al-Quran menggunakan lafaz (fatabayyanu) yang bermakna “selidikilah”, seperti firman Allah SWT yang
bermaksud “Wahai orang yang beriman! Jika
datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan
kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." [al-Hujurat (49): 6]
KESEMBILAN – mendengar (menyelidik) kejadian Allah untuk mengambil
pengajaran bagi urusan kehidupan. Firman Allah SWT
yang bermaksud “Allah menurunkan hujan
dari langit, lalu Dia menghidupkan bumi dengan air hujan itu sesudah matinya,
sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebijaksanaan Allah) bagi
kaum yang mendengar." [al-Nahl (16): 65]. Dari ayat ini bercambahnya
ilmu tentang bidang pertanian bagi manfaat kehidupan manusia.
Jika dilihat pada tujuh pesan keilmuan di dalam
al-Quran, ia seperti rantaian berikut ini; 1. Membaca – 2. Pena dan
Tulisan – 3. Berguru dari “Ahlu
al-Dhikri” – 4. Meneliti bahan bertulis – 5. Gunakan akal fikiran (ulul al-bab) – 6. Mengembara (dapatan maklumat di lapangan) – 7.Prinsip; Berfikir untuk mengukuh keimanan – 8. Prinsip; Menyelidik mencari
kebenaran – 9. Prinsip; Mendengar
(menyelidik) kejadian Allah untuk mengambil pengajaran bagi urusan kehidupan.
Dalam sesebuah aktiviti penyelidikan, sembilan (9)
rantaian aktiviti dan prinsip yang tersebut, adalah antara asas kepada satu
penyelidikan yang Islami; menuruti ajaran agama untuk mencari dan mencambahkan
ilmu pengetahun, dan di samping itu berpegang pada berprinsip antaranya untuk
mengambil pengajaran, mencari kebenaran dan memanfaatkan penyelidikan untuk
kehidupan yang lebih baik.
Untuk selanjutnya, di dalam buku “Manual Penyelidikan Secara Islam” (klik
untuk lanjut), ciri-ciri penyelidikan Islam, asas-asas penyelidikan, perancangan
penyelidikan, kemahiran pengendalian penyelidikan dan kaedah penyediaan laporan
ada dibincangkan secara terperincian. Di blog ini saya akan berkongsikan
poin-poin penting bagi; asas-asas penyelidikan dan kemahiran pengendalian
penyelidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan