Peta Blog

Peta Blog

Khamis, 5 Mac 2015

Rasulullah SAW Sebagai Strategis

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Michael H. Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (1978), meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat yang pertama. Menurut Hart, ini kerana Baginda adalah satu-satunya manusia yang sangat berjaya di kedua-dua bidang; keagamaan dan keduniaan sepanjang sejarah manusia.

Rata-rata para sarjana Islam turut mengangkat nama Baginda sebagai seorang insan yang serba boleh. Baginda adalah ketua negara, suami, ketua keluarga, pendidik, pendakwah, imam, usahawan, pengembala, panglima perang dan strategis. Sejarah telah menukilkan perjalanan hidup Baginda yang mengambil pelbagai peranan dan posisi dengan berjaya sekali.

Jika kita mengamati Sirah, ternyata Baginda amat berjaya bertindak sebagai seorang strategis. Seorang yang bijak merancang, melaksana, menilai dan mengambil langkah penambahbaikan. Jika tidak mana mungkin risalah Islam itu berjaya disebarkan dengan begitu pesat dan meluas hingga ke hari ini. Bagaimana Rasulullah SAW melakukannya? Sudah tentu Baginda dipandu oleh wahyu Allah SWT dengan bantuan para sahabat.

Liku-liku Rasulullah SAW sebagai strategis dapat diamati pada dua tahap utama. Pertama tahap asas iaitu gerakan dakwah dan membina kekuatan dalaman umat sewaktu 13 tahun di Makkah. Kedua tahap gerakan ketenteraan dan gerakan awal perluasan wilayah yang dibuka kepada Islam sepanjang 10 tahun yang berpangkalan di Madinah.

Kita dapat melihat gerakan dakwah Baginda sangat teratur sewaktu di Makkah. Ia bermula dengan dakwah rahsia; dalam keluarga dan sahabat rapat. Ia diikuti dengan dakwah secara terbuka setelah terbentuknya golongan teras hasil dakwah tahap pertama. Ia diperteguhkan dengan Islamnya dua insan hebat; Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar Al-Khattab. Pun begitu walaupun gerakan dakwah secara terang, namun organisasi dakwah adalah rahsia.

Setelah itu tahap dakwah mula dijalankan keluar Makkah iaitu ke Taif. Walaupun ia tidak berjaya Rasulullah SAW meneruskan pula dakwah kepada kabilah-kabilah yang bertandang ke Makkah untuk mengerjakan haji termasuklah yang dating dari Yathrib.

Usaha ini berjaya dan bermulalah tahap pembentukan saf mujahid Islam awal yang ditandai dengan dua peristiwa; Bai’ah ‘Aqabah Pertama dan Bai’ah ‘Aqabah Kedua. Inti patinya ialah berpegang teguh dengan ajaran Islam dan kesanggupan mempertahankan Islam.

Strategiknya Rasulullah SAW dapat dilihat pada tahap-tahap dakwah dan pembinaan barisan jamaah Islam secara yang beransur-ansur tetapi utuh, berdasarkan peluang dan situasi yang berlaku. Baginda belajar walaupun mengalami situasi kurang berjaya dan tertekan, tetapi mampu melihat kesempatan di hadapan dan meraihnya.

Pemikiran strategik Rasulullah SAW terus terpancar apabila berhijrah ke Madinah. Antara langkah strategik yang dilakukan Baginda ialah membina masjid sebagai markas pentadbiran, tarbiah dan jihad. Mengadakan Piagam Madinah yang melakarkan garis-garis besar perpaduan dan pentadbiran sebuah Negara.

Namun paling getir ialah bagaimana Baginda memimpin Negara Islam Madinah menghadapi serangan-serangan hebat dari Musyrikin terutamanya dari Makkah. Siri peperangan yang diterajui oleh Rasulullah SAW ini menampilkan pelbagai pemikiran strategik dan gerakan jihad yang begitu menarik untuk ditekuni dan dipelajari. InsyaAllah dalam penulisan selanjutnya perkara ini akan dikupas.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW berjaya menampilkan sisi Baginda sebagai seorang yang strategis berjaya. Memartabatkan agama Islam dan membina sebuah umat yang bernegara hasil dari gerakan dakwah dan jihad yang strategik pimpinan Baginda.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan