Assalamualaikum
Semua
Selawat
dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan
kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.
Penulisan kali ini akan menelusuri proses membuat keputusan
berdasarkan kaedah-kaedah fiqh atau Qawaid Fiqhiyyah. Ia merupakan
prinsip-prinsip hukum fiqh yang bersifat umum dan menyeluruh dan telah dikategorikan
oleh para ulama’ berdasarkan persamaan matlamat dan tujuan hukum serta disusun
dalam bentuk nas ringkas sehingga menjadi hukum berbentuk umum.
Kaedah-kaedah Fiqh ini berasal
dari himpunan dan kesimpulan dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad
SAW. Maka itu kaedah-kaedah yang terhasil sama penting seperti nas-nas syarak
asal itu sendiri.
Dalam ilmu fiqah, kaedah-kaedah
ini diperkenalkan bagi memudahkan rujukan bila mahu menyelesaikan masalah-masalah
yang bersifat furu’ (cabang) sahaja melalui rujukan persamaan ‘illah
(sebab). Ulama dan masyarakat mudah untuk mendapatkan panduan hukum kerana
persamaan sebab yang wujud akan membawa kepada persamaan hukum.
Kaedah-kaedah fiqh ini merangkumi
lima (5) kaedah asas dan ia diperincikan lagi dengan susunan kaedah-kaedah yang
lebih kecil yang tercetus dari kaedah utama ini. Berikut adalah lima kaedah
asas dalam kaedah-kaedah fiqh :
- Setiap perkara bergantung pada tujuannya.
- Sesuatu yang diyakini tidak boleh disingkirkan dengan kedatangan syak.
- Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.
- Kemudaratan hendaklah disingkirkan.
- Adat dijadikan sebagai rujukan hukum.
Seharusnya aplikasi kaedah-kaedah
fiqh ini tidak terhad dalam masalah fiqh dan hukum sahaja. Sebaliknya, ia perlu
diaplikasikan dalam setiap aspek kehidupan khususnya dalam pembuatan keputusan
agar ia lebih menepati kehendak ajaran Islam itu sendiri.
Sehubungan itu, membuat keputusan
berasaskan kaedah-kaedah fiqh ini adalah amat penting dalam konteks kita
sebagai seorang Muslim dan juga seorang strategis. Kepentingannya adalah
seperti berikut:
- Memastikan keputusan yang dibuat menepati objektif syarak
- Menyediakan rujukan formula pembuatan keputusan berdasarkan kehendak syarak
- Membentuk aliran keputusan yang mengikut perkembangan keperluan hidup manusia dalam batas kebenaran syarak
- Menyediakan rangka keputusan yang mengimbangi antara elemen suruh dan cegah
- Membentuk dasar pemikiran pembuat keputusan berteraskan strategi penyingkiran elemen yang mendatangkan kemudaratan dan penyuburan elemen maslahah
- Menghindar keputusan dari perkara-perkara yang mudarat
- Menyediakan para pembuat keputusan untuk membina pertimbangan keutamaan dalam tindakan dan membantu proses pembuatan keputusan yang objektif
- Membantu aspek pengumpulan data yang tepat, sahih dan sesuai
- Mendidik jiwa pembuat keputusan sentiasa mencari hikmah
- Mengaplikasikan pengurusan berteraskan Islam
Akhirnya, kita perlu menyedari
bahawa kaedah-kaedah fiqh yang dipraktikkan dalam pembuatan keputusan berstatus
sebagai formula rujukan bagi penyelesaian masalah-masalah yang bersifat furu’.
Ia seharusnya juga menjadi dasar pemikiran yang membantu pertimbangan dalam
setiap situasi yang dihadapi.
Justeru, beberapa prasyarat perlu
dipatuhi untuk memastikan pembuatan keputusan berasaskan kaedah-kaedah fiqh
menepati keperluan di samping mengelakkan penyelewengan dan salah faham. Antara
prasyaratnya ialah:
- Memastikan pembuatan keputusan tidak hanya disandarkan pada kaedah-kaedah fiqh semata-mata. Asas utama yang perlu dirujuk terlebih dahulu ialah al-Quran dan al-Sunnah.
- Memahami hubung kait dan turutan kepentingan kaedah-kaedah fiqh berbanding ilmu-ilmu asas yang lain seperti pemahaman nas-nas syarak, hukum-hukum qat’ie, ilmu usul fiqh, maqasid syariah dan ijtihad-ijtihad dalam masalah yang telah diputuskan hukumnya.
- Mendalami susur galur dalam ilmu kaedah-kaedah fiqh supaya menguasai objektif yang dikehendaki di sebalik setiap kaedah-kaedah fiqh.
- Menganalisis sesuatu situasi dengan mendalam serta bersungguh-sungguh demi mementingkan kualiti usaha maksimum untuk membuat keputusan yang berdasarkan sumber maklumat yang holistik.
- Menyelami iktibar pengalaman pembuatan keputusan lalu atau iktibar dari pihak lain dalam konteks kejayaan atau kegagalan. Usaha sentiasa mengambil iktibar ini akan menyuburkan jiwa inovatif dalam pelaksanaan setiap perkara
Untuk memantapkan lagi proses
pembuatan keputusan khususnya dalam sesebuah organisasi, kita juga harus menguasai
instrumen kemahiran tambahanyang terkandung di bawah decision-making tools seperti Pareto Chart, 5-Why Analysis, Fishbone Cause and Effect,
S.O.C.R.A.T.E.S., A.I.D.A.C. dan sebagainya
yang memudahkan proses analisis maklumat dalam pembuatan keputusan. Sebahagian daripada decision-making tools
tersebut ada dibincangkan dalam blog ini.
Di sini
saya kongsikan senarai 100 kaedah membuat keputusan berdasarkan Qawaid Fiqhiyyah
seperti berikut:
- Setiap perkara adalah menurut matlamat mengerjakannya
- Yakin tidak hilang dengan syak
- Kesulitan mendatangkan kemudahan
- Kemudaratan mesti dihilangkan
- Adat adalah dijadikan hakam (penimbang tara bagi mensabitkan hukum)
- Tidak ada pahala kecuali dengan niat
- Keizinan yang datang kemudian sama kedudukan hukumnya dengan perwakilan yang telah dilakukan terlebih dahulu
- Apabila berkumpul dua perkara dari satu jenis dan tidak berbeza maksud antara keduanya maka pada kebiasaannya dimasukkan yang satu kepada yang lain
- Apabila kes melibatkan antara penyebab, penipu dan pelaksana langsung maka didahulukan pelaksana langsung
- Apabila kes melibatkan pihak yang melakukan tindakan langsung dan pihak yang menjadi penyebab, disandarkan hukuman kepada pelaku tindakan langsung
- Apabila berkumpul antara perkara yang mengharamkan dengan perkara yang membolehkan, maka perkara yang mengharamkan menjadi faktor yang mengatasi
- Apabila batal sesuatu maka terbatallah juga perkara yang berkaitan dengannya
- Apabila saling bertentangan ketentuan hukum, maka didahulukan perkara yang hampir tarikh luput berbanding yang mempunyai tempoh yang lama dan mendahulukan perkara yang segera dari perkara yang boleh ditunda
- Apabila saling bertentangan ketentuan hukum yang mencegah dengan yang menghendaki pelaksanaan sesuatu maka hendaklah didahulukan yang mencegah
- Apabila bertentangan dua keburukan maka perlu dipertimbangkan mana yang lebih besar mudaratnya dan diberi pilihan pada yang lebih ringan mudaratnya
- Apabila sukar menyerahkan perkara yang asal, maka berpindah kepada penggantinya
- Apabila sukar atau tidak dapat dilaksanakan sesuatu kata-kata maka ia boleh diabaikan
- Apabila suatu lafaz sukar difahami secara hakiki maka dipindahkan kepada pengertian tersirat
- Apabila sesuatu yang menghalang telah hilang maka hukumnya kembali seperti hukum pada keadaan biasa
- Apabila gugur perkara pokok maka gugur juga perkara cabangnya
- Perkara yang menjadi kebiasaan kepada orang kebanyakan merupakan hujah yang wajib diamalkan
- Melakukan sesuatu yang tidak terkandung dalam maksud atau niat sebenar bererti terhindar dari apa yang dimaksudkan
- Secara asasnya, disandarkan sesuatu kejadian kepada waktu yang terdekat dengannya
- Hukum yang kuat adalah mengutamakan kebiasaan dan mendahulukannya dari perkara yang nadir
- Hukum asal yang kuat ialah tidak perlu ada kesaksian kecuali apabila diketahui dengan cara yang boleh menimbulkan keyakinan
- Asal pada setiap sifat yang baru adalah tidak ada
- Asal hukum adalah tetap apa yang telah ada atas apa yang telah ada
- Asal hukum pada masalah hubungan kelamin adalah haram
- Asal hukum pada segala sesuatu adalah diharuskan [dalam konteks Muamalat] (Kecuali ada dalil yang mengharamkannya)
- Asal hukum pada urusan akad ialah mesti berlaku secara lazim
- Asal hukum pada akad adalah kerelaan kedua-dua pihak yang mengadakan akad dan natijahnya ialah saling melazimi apa yang diakadkan
- Asal hukum pada sesuatu perkataan ialah maknanya yang sebenar
- Keterpaksaan tidak boleh membatalkan hak orang lain
- Mengamalkan sesuatu kata-kata lebih utama dari mensia-siakannya
- Sesuatu perkara apabila ia menjadi sempit maka ia perlu dilonggarkan (selagi tidak melanggar batasan utama)
- Perintah untuk mengguna dan menguruskan hak milik orang lain adalah batal
- Individu yang mendapat kepercayaan, kesaksiannya dibenarkan dengan sumpah
- Perpindahan dari hukum yang haram kepada hukum yang harus disyaratkan padanya tertib yang lebih tinggi dan perpindahan dari hukum yang harus kepada hukum yang haram cukup padanya dengan sebab yang lebih mudah
- Perbelanjaan dengan perintah Qadi sama seperti perbelanjaan atas perintah pemilik
- Adat akan dikira sebagai dasar penetapan hukum apabila ia telah menjadi adat yang sentiasa diamalkan atau lebih banyak berlaku
- Sesungguhnya diterima perkataan orang yang memberi sumpah itu adalah pada pembebasan dirinya bukan dalam mengharuskan orang lain menerimanya
- Mengutamakan orang lain pada urusan ibadah adalah makruh manakala pada urusan lain adalah sesuatu yang baik
- Sesuatu yang batil tidak menjadi sah walaupun diberi kebenaran
- Menetapkan hukum yang telah berlaku atau pengekalan hukum lebih mudah dari menetapkan hukum pada permulaan sesuatu
- Bukti/saksi adalah hujah yang boleh mengenai orang lain manakala pengakuan adalah hujah untuk pemberi pengakuan itu sendiri
- Bukti wajib diberikan oleh pihak yang menuduh dan sumpah wajib diberikan oleh pihak yang mengingkari
- Bukti adalah untuk menetapkan perkara yang berbeza dengan keadaan zahir manakala sumpah adalah untuk menetapkan keadaan asalnya
- Pengikut itu hukumnya tetap sebagai pengikut yang mengikut
- Pengikut tidak mendahului yang diikuti
- Pengikut tidak boleh mempunyai hukum secara tersendiri
- Pengikut akan gugur dengan gugurnya apa yang diikuti
- Penggantian sebab (cara) pemilikan, sama seperti penggantian zatnya
- Tindakan pemimpin terhadap rakyat harus dihubungkan dengan kemaslahatan
- Menggantungkan sesuatu perkara terhadap sesuatu keadaan merupakan pelaksanaan
- Menetapkan hukum berdasarkan uruf sama seperti menetapkan hukum yang didasarkan pada nas
- Sesuatu yang disabitkan berdasarkan bukti dan keterangan sama seperti sabit berdasarkan kenyataan
- Kejahilan tentang hukum di negara Islam bukan merupakan keuzuran
- Kerosakan akibat tindakan haiwan tidak dikenakan ganti rugi
- Keizinan berdasarkan syarak menafikan sebarang tuntutan
- Hajat dan keperluan boleh diberi keringanan sama seperti tahap darurat samada darurat umum atau darurat khusus
- Hukum hudud gugur jika adanya syubhat
- Sesuatu yang ditetapkan untuk menjaga sesuatu itu hukumnya sama dengan yang dijaga
- Sesuatu hak tidak gugur kerana kelewatan dari batas waktu yang ditentukan
- Pengertian hakiki ditinggalkan dengan adanya pengertian yang difahami secara adat
- Keputusan hakim dalam masalah ijtihad menghilangkan khilaf
- Hukum itu mengikut kemaslahatan yang rajih
- Hukum itu berkisar bersama ‘illahnya
- Berhak mendapatkan hasil disebabkan kerana keharusan mengganti kerugian
- Keluar dari khilaf adalah diutamakan
- Kesalahan qadhi ditanggung oleh Baitul Mal
- Pengkhianatan tidak boleh dipecah-pecahkan
- Menolak sesuatu lebih kuat dari melaksanakannya
- Dalil dan petunjuk yang diperolehi dari urusan yang tersembunyi boleh digunakan sebagai dasar keputusan hukum
- Menyebut sebahagian dari sesuatu yang tidak boleh dibahagi, seperti menyebutkan keseluruhannya
- Keringanan (rukhsah) tidak boleh dikaitkan dengan syak
- Keringanan (rukhsah) tidak boleh dikaitkan dengan kemaksiatan
- Rela dengan sesuatu adalah termasuk rela dengan akibat yang akan terjadi darinya
- Yang gugur tidak akan kembali sebagaimana yang tiada tidak akan kembali
- Pertanyaan itu harus diulangi dalam memberi jawapan
- Syarat yang diberikan oleh pewaqaf berkedudukan sebagai nas syarak
- Kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan mengerjakan kemudaratan yang lebih ringan
- Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang setara dengannya
- Kemudaratan yang berlaku tidak boleh dibiarkan kekal
- Kemudaratan mesti dihindarkan sedaya mungkin
- Kemudaratan itu membolehkan larangan-larangan
- Keadaan darurat itu diukur menurut kadar kemudaratannya
- Bebanan ditanggung oleh pihak yang telah mendapat keuntungan
- Kelebihan yang berkaitan dengan sesuatu ibadah adalah lebih baik dari yang berkaitan dengan tempatnya
- Kadang-kadang ditetapkan cabang tanpa ada pokoknya
- Perkara yang ada sejak dahulu lagi, dibiarkan atas kedahuluannya
- Ucapan yang diterima itu adalah ucapan orang yang menerima dalam batas yang diterima itu
- Tulisan itu sama seperti ucapan
- Setiap syarat yang bersalahan dengan dasar-dasar syariah adalah batal
- Setiap pengulangan maslahah dengan sebab berulang perbuatan maka perbuatan itu disyariatkan terhadap setiap orang untuk memperbanyakkan kemaslahatan dengan berulang-ulangnya perbuatan itu, dan bagi perbuatan yang tidak diulangi ia hanya dikira sebagai memadai atau kifayah sahaja
- Tidak boleh dijadikan hujah dengan adanya kemungkinan yang timbul dari suatu dalil
- Tidak boleh dijadikan hujah dengan keterangan yang bertentangan akan tetapi ia tidak mencacatkan keputusan hakim yang didasarkan kepadanya
- Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan
- Tidak boleh diterima sesuatu yang didasarkan pada zann/sangkaan yang jelas salahnya
- Tidak diterima sesuatu yang disandarkan pada wahm
- Tidak dianggap sebagai dasar hukum bagi petunjuk yang menentang perkataan yang jelas
Ada 150 lagi kaedah membuat
keputusan berdasarkan Qawaid Fiqhiyyah yang dinukilkan di dalam buku “Membuat Keputusan Kaedah Islam”.
Dengan
itu diharapkan kita dapat membuat keputusan yang memandu kehidupan kita ke arah
yang lebih baik dan diredhai Allah SWT. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan