Assalamualaikum
Semua
Selawat dan Salam
buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran
serta hikmah untuk orang-orang beriman.
Penulisan kali ini pula berkongsikan perincian dan
pembelajaran dari Ghazwah 5: BADAR KUBRA (Ramadhan 2H/Mac 624M). Peristiwa
yang berlaku:
- Dua bulan sebelum berlakunya perang, Rasulullah SAW telah menghantar skuad pengintip seramai 12 orang Muhajirin diketuai oleh Abdullah bin Jahsyi mendapatkan maklumat Quraisy. Bagi menjaga kerahsiaan misi ini, Rasulullah SAW telah memberi sepucuk surat kepada Abdullah bin Jahsyi dan perintah membukanya selepas dua hari perjalanan. Kandungan surat itu berbunyi "Setelah engkau membaca surat ini, teruskan perjalanan sampai ke Nakhlah dan di situ engkau awasi kafilah Quraisy dan sampaikan kepada kami maklumat tentang mereka".
- Skuad Abdullah bin Jahsyi bertembung dengan kafilah dagang Quraisy lalu menghalang dan membunuh ketuanya iaitu ‘Amru bin Al Hadhrami dan berjaya menawan dua orang ahlinya iaitu Utsman bin Abdullah dan Al Hakam bin Kaisan. Mereka membawa kedua-duanya ke Madinah bersama unta rampasan dan Rasulullah SAW mendiamkan harta rampasan itu sehingga turun firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah, 2: 217 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.
- Menerusi peristiwa ini kaum Muslimin beroleh ghanimah yang pertama, ‘Amru bin Al Hadhrami ialah orang yang pertama yang dibunuh oleh kaum Muslimin dan Al Hakam bin Kaisan merupakan tawanan kaum Muslimin yang pertama di dalam Islam.
- Rasulullah SAW memimpin seramai 317 orang tentera Islam (86 Muhajirin, 61 Aus dan 170 Khazraj) dengan 2 tentera berkuda iaitu Zubair bin Awwam dan Miqdad bin Al Aswad dan 70 unta (seekor unta dikongsi oleh dua atau tiga orang). Tujuannya untuk memintas kafilah Quraisy diketuai Abi Sufyan yang pulang dari Syam.
- Panji dipegang oleh Mus'ab bin 'Umair. Pasukan tentera Islam didahului oleh skuad pengintip terdiri daripada Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Saad bin Abi Waqas yang bergerak di hadapan mendapatkan maklumat pergerakan kafilah perniagaan Abu Sufyan dan perancangan-perancangan Quraisy. Mereka berjaya membawa pulang dua orang hamba yang ditugaskan mencari air kegunaan tentera Musyrikin.
- Hasilnya bilangan tentera pasukan Quraisy dapat diketahui apabila hamba tersebut ditanya oleh Rasulullah SAW "Berapa ekor untakah yang disembelih setiap hari untuk makanan tentera Quraisy?" Dari jawapan yang diberikan iaitu di antara sembilan hingga 10 ekor unta, Rasulullah SAW dapat membuat anggaran bilangan mereka adalah sekitar 900 hingga 1,000 orang kerana seekor unta biasanya dimakan oleh sembilan puluh atau seratus orang Arab. Anggaran Baginda SAW ternyata tepat.
- Rasulullah SAW sendiri mengambil inisiatif untuk membuat intipan dengan meninjau kawasan sekitar ditemani oleh Abu Bakar As Siddiq. Mereka bertemu dengan seorang Badwi tua yang tidak mengenali mereka berdua. Lalu Rasulullah SAW bertanya "Di mana kedudukan pasukan Muhammad berada dan di mana kedudukan pasukan Quraisy dari Makkah berada?". Orang tua tersebut berkata "Aku tidak akan beritahu selagi kamu berdua tidak memperkenalkan diri" Rasulullah SAW menjawab "Jika kamu beritahu apa yang kami tanya, kami akan jawab apa yang kamu tanya". Lalu orang Badwi itu berkata "Aku diberitahu bahawa Muhammad telah keluar pada hari berikut, maka sudah tentulah dia berada di tempat ini. Aku diberitahu Quraisy keluar pada hari berikut, maka sudah tentu mereka berada di tempat ini. Jika berita yang aku terima itu benar, maka begitulah". Seterusnya bertanya kepada Rasulullah SAW "Kamu berdua datang dari mana?" Rasulullah SAW menjawab "Dari Ma'(air)". Sebelum beredar Badwi itu bertanya kembali "Berkemungkinan Iraqkah?".
- Pasukan utama tentera Islam pula dibahagikan kepada dua katibah iaitu Muhajirin dan Ansar. Ali bin Abi Talib memegang panji Muhajirin dan Saad bin Mu'az memegang panji Ansar. Pasukan tentera Islam disusun mengikut saf iaitu saf hadapan bersenjatakan tombak dan perisai dan saf belakang bersenjatakan panah dan perisai. Saf belakang ini dipimpin oleh Qais bin Sa'sa'ah.
- Rasulullah SAW telah menerima cadangan seorang sahabat iaitu Khubab bin Munzir untuk berpangkalan di tempat yang mempunyai mata air yang paling dekat dengan tempat musuh. Setelah berpindah dari pangkalan asal, mereka telah membina kolam untuk mengisi air dan pada masa yang sama merosakkan tempat air yang lain supaya musuh terputus bekalan air.
- Rasulullah SAW telah mengarahkan pasukan tentera Islam supaya tidak memulakan peperangan sehingga menerima perintah dengan pesannya “Apabila mereka menghampiri kamu seranglah mereka dengan panah. Bercermatlah menjaga anak-anak panah (jangan memanah apabila mereka berada dalam jarak yang jauh), jangan mencabut pedang sehinggalah mereka menghampiri kamu”.
- Abu Jahal memimpin angkatan tentera Musyrikin seramai lebih 1,000 orang tentera bersama pasukan berkuda seramai 200 orang dan 600 orang berbaju besi serta unta yang banyak. Kos mereka dibiayai oleh sembilan orang bangsawan Quraisy. Tujuannya untuk melindungi kafilah Quraisy serta menggagalkan misi pasukan tentera Islam.
- Kafilah Quraisy terselamat dari bertembung dengan pasukan tentera Islam kerana Abi Sufyan bertindak mengubah laluan menggunakan jalan pesisir pantai. Maka beliau telah menghantar utusan meminta pasukan Musyrikin yang dalam perjalanan ke Badar kembali ke Makkah. Namun Abu Jahal berkeras mengajak untuk memerangi kaum Muslimin.
- Rasulullah SAW segera mengadakan mesyuarat bersama para sahabat berkaitan kejayaan kafilah Quraisy tiba ke Makkah dan hasrat Musyrikin untuk memerangi kaum Muslimin. Sebahagian para sahabat masih belum benar-benar bersedia untuk menghadapi peperangan. Perkara ini dirakamkan di dalam Al Quran surah Al Anfal, 8: 5-8 yang maksudnya: “Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya). Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya. Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.”
- Akhirnya para sahabat sepakat untuk menghadapi pasukan Musyrikin. Hasilnya pasukan tentera Islam telah mencapai kemenangan yang besar walaupun seramai 14 orang telah gugur syahid. Pasukan Musyrikin kehilangan nyawa seramai 70 orang dan 70 lagi berjaya ditawan. Tawanan tersebut dibebaskan dengan tebusan, manakala sebahagian yang tidak mampu menebus diri mereka telah diperintahkan untuk mengajar 10 orang anak orang Islam membaca dan menulis.
1. Iktibar yang dapat diambil:
- Membuat keputusan secara cepat dan tepat dengan kecekapan risikan maklumat.
- Mengejutkan musuh dengan menjaga kerahsiaan strategi yang akan digunakan.
- Menunjukkan keterbukaan dengan menerima pandangan Habbab bin Al Munzir dalam memilih lokasi strategik tentera Islam di Badar.
- Menggerakkan kekuatan pasukan tentera secara sistematik dengan menggunakan sistem saf.
- Memanfaatkan sumber secara optimum dengan kaedah penggunaan panah dan pedang secara berefikasi.
2. Strategi yang
digunakan; RISIK-RAHSIA-LOKASI-SAF-SUMBER
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan