Peta Blog

Peta Blog

Isnin, 9 Mac 2015

Kita Semua Membuat Keputusan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Membuat keputusan adalah suatu aktiviti paling utama dalam kehidupan seharian manusia. Setiap detik dalam keadaan sedar kita akan membuat pelbagai keputusan untuk menggerakkan kehidupan ini bermula dari bangkit tidur hinggalah tidur kembali.

Kita akan memutuskan bermula dari apa yang kita fikirkan, apa yang hendak dilakukan dan bagaimana kita mahu mengambil sikap. Kita akan memutuskan apa, bila dan bagaimana sesuatu perkara itu mahu dilaksanakan. Segala rutin aktiviti kehidupan harian dan pekerjaan yang dilakukan memerlukan kita membuat keputusan dengan betul.

Satu perkara yang harus kita sedari bahawa setiap keputusan yang diambil dan dilaksanakan akan mendatang impak tertentu. Paling asas sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa setiap perkara perlakuan dirinya akan dinilai oleh Allah SAW sama ada ia beroleh pahala iaitu keredaan dari-Nya atau hanyalah sia-sia iaitu dosa.

Kitalah yang akan memutuskan sama ada mahu melakukan yang baik atau sebaliknya. Allah SWT berfirman yang maksud: “Maka (Allah) mengilhamkan (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.”

Mungkin mudah membuat keputusan untuk diri sendiri. Namun sesuatu keputusan itu menjadi semakin berat apabila ia melibatkan kepentingan banyak pihak. Keputusan yang tepat dan berefikasi (efisien dan efektif) perlu dilakukan oleh seorang ketua sebuah organisasi atau seorang pemimpin sebuah kerajaan.

Untuk itu kita semua, apatah lagi seorang ketua atau pemimpin memerlukan teknik, kaedah dan prinsip membuat keputusan yang betul. Kaedah, teknik dan prinsip ini menjadi formula asas untuk membantu kita membuat keputusan yang terbaik berdasarkan maklumat dimiliki dan situasi yang dihadapi.

Kaedah membuat keputusan yang pelbagai dan betul ini juga memberi manfaat dalam situasi berikut:
  • Membantu kaedah mendapatkan maklumat
  • Membantu mendalami situasi sehingga ke punca sebenar
  • Membantu dalam menyediakan menu cara berfikir
  • Membantu mengimbangi kepelbagaian faktor dan kepentingan
  • Membantu menyediakan formula penyelesaian masalah
  • Membantu merangka akibat-akibat yang mungkin berlaku dalam setiap pilihan keputusan
  • Membantu mempertimbangkan pelbagai pilihan keputusan

Dalam ilmu pengurusan hari ini, terdapat pelbagai bentuk, model dan teknik pembuatan keputusan yang baik. Ada yang berkonsepkan formula, model tertentu ataupun berbentuk pengiraan. Apa juga kaedah atau teknik yang digunakan, akhirnya ia akan menjurus kepada suatu keputusan yang tergantung untuk diambil tindakan atau hanya sekadar pendirian.

Namun begitu, dalam kepelbagaian alatan moden tadi, jarang sekali kita dipertemukan dengan “Kaedah-Kaedah Membuat Keputusan Secara Islam”. Sebenarnya wujud dalam khazanah ilmu Islam kaedah dan prinsip untuk membuat keputusan. Ilmu ini harus dikuasai dan diamalkan oleh diri dan pemimpin Islam agar neraca pemikiran dan pembawaan diri serta organisasi berlandaskan nilai-nilai dalam Islam.

Insya-Allah dalam penulisan artikel selanjutnya, kaedah pembuatan keputusan yang berteraskan prinsip-prinsip Islam ini akan diperjelaskan lagi.

Wallahu A’lam, Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan