Peta Blog

Peta Blog

Isnin, 9 Mac 2015

Blueprinting: Langkah Merencana Kejayaan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Pada artikel pengenalan blog, saya telah menyatakan pentingnya sesebuah organisasi atau agenda besar dirangkakan sebuah Pelan Perancangan atau Pelan Tindakan untuk mencapai matlamatnya. JIka tiada, mudah sahaja musuh atau pesaing mengalahkan kita.


Seperti yang pernah dipesan oleh Saidina Ali bahawa, “Kebatilan yang terancang dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”. Benjamin Franklin pula mengatakan, “Jika anda gagal merancang, anda sedang merancang untuk gagal.”

Rajah 1: Aliran Kerja Blueprint

Namun bagitu harus diingat bahawa memiliki sebuah pelan tindakan yang hebat hanya satu permulaan, bukanlah suatu kejayaan yang pasti, selagi pelan tersebut tidak dilaksanakan. Tiada apa yang lebih buruk, selain memiliki pelan tindakan yang cantik di atas kertas, tetapi tidak dilaksanakan.

Bernard Reimann, seorang ahli matematik Jerman mengatakan “strategi yang hebat akan binasa jika ia dilaksanakan dengan teruk sekali” (the greatest strategy is doomed if it’s implement badly).

Faktor penting untuk melaksanakannya memerlukan pemimpin yang hebat. Sun Tzu, strategis perang negeri China pernah mengatakan “kepimpinan yang lemah boleh menghancurkan strategi yang hebat”, kerana dia tidak mampu untuk melaksanakan strategi tersebut.

Kebali pada ilmu perancangan, ada tiga (3) jenis Pelan Tindakan (Grand Design) untuk perancangan iaitu; Road Map, Flight Plan, dan Blueprint. Secara ringkas ia adalah:

Road Map Peta hala tuju yang secara ringkas menetapkan perkara atau inisiatif-inisiatif tindakan asas dalam menuju matlamat yang telah ditetapkan.

Flight Plan Pelan pelancaran iaitu yang menerangkan bagaimana sesuatu perkara atau inisiatif tindakan mahu digerakkan dan dipastikan agar tidak terpesong arah menuju matlamat.

Blueprint Pelan Bertindak yang lebih terperinci, yang menerangkan semua aspek; matlamat, cabaran, tindakan dan sebagainya. Asalnya ia adalah cetakan di atas Kertas Biru pelan struktur terperinci sebuah bangunan yang hendak dibina dan sebagainya.

Saya akan berkongsikan langkah-langkah untuk menghasilkan sebuah Blueprint yang baik. Rajah 1 di atas menunjukkan Aliran Kerja Blueprint iaitu 14 langkah demi langkah meliputi:
  1. Semakan Realiti
  2. Kenyataan Isu Sebenar
  3. Diagnosis
  4. Penetapan Faktor-Faktor Primer dan Sekunder Yang Mesti Diurus
  5. Prognosis
  6. Pengauditan Kekuatan Sumber
  7. Opsyen Strategi
  8. Jangkaan Pelbagai Senario
  9. Pemadanan Antara Badan Bertindak dan Peranan
  10. Fasa Tindakan
  11. Pengkategorian Inisiatif
  12. Sistem Pencegahan, Pemantauan, Pembaikan dan  Penjajaran Semula
  13. Strategi Suplementari
  14. Pelan Kontingensi

InsyaAllah dalam penulisan selanjutnya saya akan kongsikan perincian gerak kerja bagi tujuh (7) langkah aliran kerja yang pertama.

Wallahu A’lam, Wassalam.

Kemahiran Pengendalian Penyelidikan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Setelah kita meneliti “Asas-asas Penyelidikan Islam”. Mari kita perhatikan beberapa poin-poin penting tentang pengendalian penyelidikan yang baik dan sistematik.

Secara amnya, pengendalian penyelidikan ini merangkumi kaedah:
  1. Mengenal pasti isu dan permasalahan secara forensik
  2. Penggubalan kerangka konseptual yang jitu
  3. Pencarian dan pengulasan karya yang berkaitan
  4. Mereka bentuk soal selidik
  5. Menentukan populasi serta kaedah pensampelan 
  6. Pelaksanaan kajian rintis
  7. Pengumpulan data
  8. Pemprosesan data
  9. Penganalisisan data
  10. Merumuskan serta format dan profil cadangan

Bagi langkah; Mengenal Pasti Isu Dan Permasalahan Secara Forensik, kepentingannya ialah:
  1. Mengenal pasti permasalahan kajian
  2. Mengetahui sejauh mana tahap permasalahan
  3. Menemukan punca sebenar kajian
  4. Memahami sesuatu fenomena dengan lebih jelas
  5. Memahami isu-isu yang tersirat dan tersurat daripada kajian

Pendekatan yang boleh digunakan ialah:
  1. Mengumpul maklumat
  2. Menggunakan kaedah mencari punca sebenar masalah
  3. Menggunakan kaedah “Pareto Chart

Bagi langkah; Penggubalan Kerangka Konseptual Yang Jitu, kepentingannya ialah:
  1. Mendapat gambaran tentang situasi kajian yang hendak dikaji
  2. Melaksanakan kajian dengan sempurna mengikut strategi yang ditetapkan
  3. Mengandaikan natijah kajian dan penyebab yang membawa pada sesuatu keadaan
  4. Menjadikannya sebagai dasar pertimbangan dalam menyediakan laporan kajian

Pendekatan yang boleh digunakan ialah:
  1. Menggunakan teknik mengenal pasti sebab asas masalah
  2. Menyusun strategi implementasi
  3. Merangka pelan tindakan kajian

Bagi langkah; Pencarian Dan Pengulasan Karya Yang Berkaitan, kepentingannya ialah:
  1. Membantu segi mendapatkan gambaran yang jelas tentang kajian yang hendak dikaji
  2. Menjadikannya sebagai asas bahan rujukan kajian
  3. Mengenal pasti masalah sebenar
  4. Memberi input untuk memahami masalah kajian
  5. Membantu dalam memantapkan fokus kajian yang hendak dijalankan
  6. Membantu dalam menganalisis maklumat yang berkaitan  dengan topik kajian

Pendekatan yang boleh digunakan ialah:
  1. Mengenal pasti karya dan mencari input berkaitan
  2. Menstrukturkan maklumat
  3. Mengumpul maklumat
  4. Membaca dan meringkaskan sumber

Bagi langkah; Mereka Bentuk Soal Selidik, kepentingannya ialah:
  1. Memperoleh maklumat yang sebenar dari kalangan responden kajian
  2. Menjadikannya sebagai rujukan asas untuk mengetahui punca masalah sebenar kajian
  3. Memperoleh data yang tepat dan terkini
  4. Memudahkan proses analisis dijalankan supaya tidak tersasar daripada objektif kajian

Bagi langkah; Penentuan Populasi Dan Kaedah Pensampelan, kepentingannya ialah:
  1. Memperoleh maklumat yang tepat berdasarkan sampel yang mewakili jumlah populasi kajian.
  2. Menghasilkan analisis yang sahih mengikut pengiraan sampel yang betul dan sasaran populasi yang tepat.
  3. Menyesuaikan segi kos dan masa kajian yang dilaksanakan

Pendekatan yang boleh digunakan ialah:

1. Menentukan sasaran populasi dan rangka pensampelan
2. Memilih teknik pensampelan
                   i.       Pensampelan kebarangkalian (Probability sampling)
a.    Pensampelan rawak mudah (Simple random sampling)
b.    Pensampelan sistematik (Systematic sampling)
c.     Pensampelan rawak berstratifikasi (Stratified random sampling)
d.    Pensampelan kluster (Cluster sampling)
                     ii.   Pensampelan bukan kebarangkalian (Non-probability sampling)
3. Menentukan saiz sampel


Untuk poin-poin bagi langkah; Menjalankan Kajian Rintis, Kaedah Pengumpulan Data, Kaedah Pemprosesan Data,  Kaedah Penganalisisan Data, Dan  Kaedah Format Dan Profil Cadangan, serta perincian lanjut boleh diperolehi dalam buku “Manual Penyeldikan Secara Islam” (klik untuk lanjut).

Wallahu A’lam, Wassalam.

Asas-Asas Penyelidikan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Setelah kita meneliti “Penyelidikan dari Persepektif Islam”. Mari kita lihat pula asas-asas penyelidikan dalam Islam. Di samping pendekatan-pendekatan yang Islami, asas-asas penyelidikan juga diadun dengan kaedah dan prinsip berdasarkan keilmuan kontemporasi dan konvensional.

Dengan mengaplikasikan ilmu pengetahuan semasa iaitu kebijaksanaan, dengan sendirinya kita berpegang pada prinsip Islam yang mahu umat memburu ilmu dan menggunakan hikmah dalam kehidupan.

Saya hanya akan berkongsikan poin-poin asas tentang aspek asas-asas penyelidikan ini. Manakala perinciannya boleh dirujuk dalam buku “Manual Penyeldikan Secara Islam” (klik untuk lanjut).

ASAS PERTAMA: Memahami Sebab Musabab Penyelidikan. Ia penting kerana dapat:
  1. Mengenal pasti isu dan permasalahan
  2. Membantu penyelidik untuk memahami realiti sebenar
  3. Membantu menilai keberkesanan dasar, program dan usaha organisasi
  4. Membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan
  5. Membantu dalam membuat keputusan

Setelah memahami sebab musabab, pendekatan yang sesuai harus digunakan memahami realiti isu, masalah dan perkara-perkara yang berkaitan. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah; S.O.C.R.A.T.E.S, Bottom up –Top Down, A.I.D.A.C, Objektif dan misi organisasi, Pembacaan, Percambahan fikiran, Pemerhatian, Pengalaman sebenar, D.I.K.W, P.A.R.L.I, P.E.R.O.S1.A.S2.S3, R.A.I.D.K.A.A.R.E.I, P.D.C.A dan P.I.O.C.To.C.

ASAS KEDUA: Memahami Jenis-Jenis Penyelidikan. Ia penting kerana dapat:
  1. Menyesuaikan jenis penyelidikan yang dipilih berdasarkan kajian yang dikaji
  2. Menjadikannya sebagai rujukan asas dalam melakukan proses metodologi kajian
  3. Antara jenis-jenis penyelidikan ialah; Penerokaan, Deskriptif, Korelasi, Eksperimental, Analitikal, Jangkaan, Konseptual, Dokumentasi, Lapangan, Diagnostik, Prognostik, Kebolehlaksanaan, Perolehan Pendapat, Perbandingan, Sejarah, Pemasaran, dan Tindakan. Penerangan jenis-jenis penyelidikan seperti di Jadual 1.

 Jadual 1: Jenis-Jenis Penyelidikan

Bil.
Jenis Penyelidikan
Fokus
1.
Penerokaan
Memahami sesuatu senario  yang mana tiada atau sedikit sahaja maklumat yang diperoleh
2.
Deskriptif
Menjelaskan secara menyeluruh tentang gelagat populasi serta senario dan realiti isu permasalahan kajian
3.
Korelasi
Memahami hubungan di antara dua pemboleh ubah dan mengesahkan hipotesis awalan
4.
Eksperimental
Mengawal dan memanipulasi pemboleh ubah-pemboleh ubah untuk menghasilkan situasi-situasi tertentu sama ada di dalam makmal atau dalam kehidupan sebenar. Maklum balas daripada responden dijadikan kayu ukur untuk menilai perbezaan antara situasi-situasi tersebut
5.
Analitikal
Memahami sesuatu isu atau sebagainya, demi untuk memajukan sesuatu tindakan susulan yang bertepatan (penyelesaian pada masalah, memberi perspektif yang lebih baik, mengaitkan hubungan antara faktor-faktor dan lain-lain)

ASAS KETIGA: Pemadanan Antara Penyebab Dan Jenis Penyelidikan. Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah; Six Thinking Hats dan P.E.R.O.S1.A.S2.S3, dan ia perting kerana:
  1. Menepati tujuan sebenar atau objektif  penyelidikan
  2. Memberi gambaran yang jelas kepada penyelidik

ASAS KEEMPAT: Senario Yang Mungkin Dihadapi Oleh Penyelidik. Senario yang berlaku penting untuk difahami kerana:
  1. Menyedarkan penyelidik supaya sentiasa berpegang pada niat
  2. Menuntut penyelidik untuk memiliki corak pemikiran kreatif, kritikal dan konstruktif
  3. Melengkapkan diri dengan nilai-nilai empati dan sensitiviti khususnya bagi menangani individu dan situasi yang sukar
  4. Mengutamakan kesihatan segi daya ketahanan fizikal

Antara jenis-jenis senario yang mungkin dihadapi oleh seseorang penyelidik ialah; Pemusatan, Pencapahan, Penolakan, Pelanjutan, Statik, Pemutaran, Tidak konsisten, dan Tidak fokus. Antara penjelasannya seperti berikut:
  1. Pemusatan - Responden memberi kerjasama sepenuhnya kepada para penyelidik.
  2. Pencapahan - Responden tidak memberi jawapan seperti mana yang dikehendaki dalam borang kaji selidik.
  3. Penolakan - Responden menolak untuk memberi kerjasama  kerana tahap ketidakpuasan yang membimbangkan di samping  taksub pada perspektif sendiri.
  4. Pelanjutan - Responden yang memerlukan tempoh masa lebih lama dan usaha yang lebih gigih daripada pasukan penyelidik bagi  meyakinkan mereka untuk memberikan kerjasama.

Wallahu A’lam, Wassalam.