Assalamualaikum
Semua
Selawat dan Salam
buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran
serta hikmah untuk orang-orang beriman.
Suatu soalan yang
agak sinikal yang biasa dilontarkan apabila ada sesuatu inisiatif (usaha) baharu
yang mahu dikaitkan dengan Islam, dimanakah Islamiknya usaha anda? Apakah usaha
atau pencapaian sesuatu perkara sebelum ini tidak Islamik?
Subjek “Pengurusan
Islam” dan “Pemikiran Strategik Islam” boleh menggamit polemik yang sama.
Apakah bezanya dengan gaya “Pengurusan Konvensional” dan “Pemikiran Strategik”
biasa? Di manakah letaknya nilai keIslaman sesuatu jenama dan pengisiannya?
Ada beberapa
perkara yang pada hemat saya melayakkan sesuatu inisiatif pemikiran atau usaha
itu dijelmakan sebagai Islam. Ia boleh dilihat pada:
- Matlamat baik sesuatu perkara
- Kaedah pelaksanaan yang baik
- Prinsip dan nilai yang Islamik
- Sumber rujukan yang benar
- Nilai keilmuan yang wujud
Pertama; matlamat sesuatu inisitif adalah segalanya.
Ia adalah niat atau tujuan sesuatu usaha itu. Dalam konteks Islam seharusnya
apa juga inisiatif kita bermatlamatkan akhirnya untuk “pengabdian (beribadat)
kepada Allah” dengan “memartabatkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup”.
Secara amnya matlamat
sesuatu perkara itu mestilah untuk kebaikan atau kemaslahatan diri, keluarga
dan ummah, serta masyarakat lainnya. Jika ia bermatlamatkan kefasadan,
kemaksiatan dan keuntungan dunia yang tidak berpenghujung, ia adalah terlarang
dan tidak Islamik.
Secara lebih
terarah, matlamat untuk sesuatu usaha mestilah dalam lingkungan menyantuni lima
(5) aspek maqasid syariah (matlamat
syariah). Allah SWT menurun ajaran agama Islam (syariat) adalah bagi tujuan
untuk manusia itu memelihara agama (aqidah), nyawa (jiwa), akal (pemikiran),
keturunan (zuriat) dan harta (mal).
Jika sebarang usaha
dilakukan untuk untuk memelihara lima aspek tersebut daripada diganggu gugat,
diceroboh dan dicemari, maka usaha tersebut pada asasnya bolehlah dianggap
sudah Islamik.
Kedua ialah kaedah pelaksanaan. Barang diingat,
awalapun matlamat yang baik sudah ada, namun ia tidak akan menghalalkan cara.
Ini bermakna kaedah atau cara untuk mencapai matlamat tersebut mestilah baik,
tidak memudaratkan, adil dan dalam lingkungan lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.
Jika cara untuk mencapainya baik dan bersesuaian maka ia adalah Islamik.
Ketiga
ialah
prinsip dan nilai yang dibawa
mestilah bersandarkan Islam. Nilai-nilai yang baik seperti amanah, etika dan
moral, ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah antara perkara penting yang
boleh mendasari sesuatu inisiatif pengurusan atau pemikiran.
Misalnya dalam pemikiran
untuk membuat keputusan, penggunaan kaedah atau prinsip fekah dalam penentuan
sesuatu hukum boleh digunakan. Dalam blog ini ada ditampilkan sebahagian 250
kaedah membuat keputusan dalam Islam berdasarkan kaedah qawaid fikhiah.
Dengan menggunakan
kaedah Islam seperti ini, kita berharap sebarang pemikiran atau keputusan yang
diambil oleh kita bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam kerana ia telah
dibina oleh para ilmuan Islam untuk membantu dalam pengeluaran hukum atau
fatwa.
Keempat
ialah
sumber rujukan yang digunakan dalam mestilah
kembali kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad
para ulama’. Inilah sumber pengambilan syariat dan pengeluaran hukum Islam yang
benar. Dengan berpegang pada tiga (3) sumber rujukan ini, sebarang usaha yang
dilakukan dengan sendirinya menepati kehendak Islam.
Dalam blog ini ada
ditampilkan sebahagian daripada “Seni Peperangan Rasulullah SAW” sebagai sumber
ikutan kita tentang pemikiran strategik. Dengan mencontohi Rasulullah SAW
sebagai ikon pemikiran strategik melalui 28 ghazwah
Baginda, kita berharap dapat mengikut sebahagian Sunnah Rasul yang begitu
jarang ditekuni oleh kita.
Kelima
ialah
nilai keilmuan yang wujud sewaktu
proses pemikiran dan usaha. Islam adalah agama berasaskan ilmu. Melalui ilmulah
seseorang insan itu dapat keluar dari kegelapan dan kejahilan kepada sinar dan
kebijaksanaan. Bahkan Islam juga mewajibkan ke atas umatnya agar menuntut ilmu,
dari buaian hingga ke liang kahad, walaupun hingga ke negeri Cina!
Adakah kita akan
dapat mempelajari ilmu agama di Cina? Mungkin tidak, tetapi kita akan dapat
mempelajari ilmu-ilmu pengurusan dan penambahbaikan hidup yang lain dari
tamadun-tamadun hebat tidak kira sama ada di Timur ataupun di Barat.
Dalam sebuah
hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “hikmah itu adalah barang tinggalan yang dicari-cari oleh orang Mukmin,
siapa sahaja yang menemuinya, maka dialah yang lebih berhak ke atasnya” (Riwayat
Tirmizi)
Justeru sebarang
bentuk pemikiran strategik untuk pengurusan hidup di dunia ini yang
bersumberkan dari hikmah atau ilmu pengetahuan yang sahih adalah Islamik. Ilmu
itu terlalu luas sifatnya dan mungkin telah digali oleh orang-orang bukan Islam
dari pelbagai tamadun dan tempat. Kita boleh mengambil dan mengaplikasikannya
akan terhindar dari kesesatan dan kemunduran.
Gabungan lima
perkara yang dinyatakan iaitu; matlamat,
kaedah, prinsip, sumber dan ilmu, insyaAllah
membolehkan sebarang usaha yang kita lakukan adalah berpaksikan ajaran Islam
dan menuju kepada redha Allah SWT jua.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan