Peta Blog

Peta Blog

Selasa, 24 Februari 2015

Pemikiran Strategik Islam: Salam Pengenalan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Blog ini ingin membawa para pembaca sekalian untuk menelusuri teori, seni dan praktik pemikiran yang strategik (strategic thinking) dalam kerangka dan perspektif Islam. Subjek ini di bawah subjek utama - Pengurusan Islam (Islamic Management) dan Pengurusan Strategik (Strategic Management).

Islam sebagai satu cara hidup yang syumul seharusnya bukan sekadar mengupas persoalan aqidah, syariat-ibadat khusus serta akhlak sahaja, malah mampu menterjemahkan persoalan syariat-mualamat dan pengurusan hidup seharian yang dinamik.

Umat Islam hari ini harus menguasai dan mempraktikkan pemikiran dan tindakan strategik dalam kehidupan seharian. Kita tidak mampu menjadi umat yang hanya menunggu dan sekadar respons bermusim bila perlu. Apatah lagi bila berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mempertikai dan merosakkan syariat serta aqidah yang kita imani.

Cabaran dan pertentangan sentiasa datang dari pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan Islam. Ia tidak akan pudar selagi ada bulan dan bintang. Kita diingatkan bahawa musuh nombor satu ialah syaitan yang telah bersumpah menyesatkan umat ini sehingga akhirat. Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya syaitan itu musuhmu, sebab itu kamu ambillah dia sebagai musuh. Dia hanya menyeru golongannya (pengikutnya), supaya mereka masuk neraka”. (Faathir:6).

Dalam bentuk manusia, wujud dua golongan utama iaitu Yahudi dan Nasrani. Allah SWT berfirman yang maksudnya Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka”. (al-Baqarah:120). Jika dahulu pertentangan wujud dalam bentuk fizikal; peperangan dan penaklukan, kini peperangan dalam bentuk serangan dan pengeliruan pemikiran pula.

Maka itu tidak hairanlah wujud pelbagai aliran pemikiran pasca moden dan penjajahan seperti pluralisme, liberalisme dan sekularisme. Ini ditambah lagi dengan cabaran pertembungan aliran pemikiran, pengamalan dan pemilihan bidang keutamaan yang berbeza dalam kalangan umat Islam sendiri. Persoalannya, apakah persiapan dan tindakan kita?

Saya yakin semuanya bermula dengan cara kita berfikir, sebelum menyusun agenda dan pelan bertindak. Perkataan “pemikiran” berasal daripada “fikir” iaitu 1. Ingatan, angan-angan, akal; 2. Anggapan, pendapat, sangka, kira (Kamus Dewan). “Pemikiran” adalah proses dan perihal berfikir iaitu penggunaan akal kurnian Allah untuk memahami, mengingati dan membuat tanggapan tentang perkara-perkara yang dicerap oleh pancaindera.

Perkataan “strategik” pula berasal daripada “startegi” iaitu 1. Ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak tanduk peperangan, taktik perang; 2. Siasat perang, taktik perang; 3. Siasat (muslihat) untuk mencapai sesuatu maksud; 4. Rancangan yang teratur yang memperhitungkan pelbagai faktor untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Kamus Dewan). Maka “strategik” bermaksud apa-apa perkara seperti pemikiran dan tindakan yang berdasarkan strategi; yang elok dan kena pada tempat, masa dan situasinya.

Fred R. David, dalam bukunya “Strategic Management” (2001), mendefinisikan Strategic Management sebagai “seni dan sains mengolah, melaksana dan menilai keputusan-keputusan merentasi pelbagai fungsi yang membolehkan sesebuah organisasi mencapai objektifnya.”

Justeru, pemikiran yang strategik adalah proses memahami situasi semasa dan memperhitungkan rancangan serta tindakan yang wajar, melalui bacaan maklumat dan aplikasi pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Harapannya jangkaan hasil atau dapatan akhir memenuhi matlamat.

Pemikiran strategik seharusnya bergerak dalam kitaran tiga komponen asas iaitu; merancang (planning), melaksana (implementing) dan menilai (evaluating), yang diikuti dengan penambahbaikan dalam perancangan semula.

Supaya pemikiran strategik ini berpaksikan Islam, tidak dapat tidak ia mesti bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, pandangan ulama’; mereka yang berautoriti serta ahli. Mereka yang berhak dan pakar akan membuat pertimbangan atas dasar tanggungjawab kerana Allah serta bersandarkan keilmuan yang luas. Ini termasuk juga ilmu-ilmu pemikiran dan pengurusan kontemporari yang bersesuaian.

Mutakhir ini pemikiran dan tindakan yang strategik umat Islam harus digarap. Ia berstatus amat penting dan segera melihatkan pada situasi cabaran semasa. Kita harus mampu menjangka tindakan lawan, merencana pelan yang bersifat defensif, ofensif, mitigasi dan kontigensi, serta disudahi dengan kuasa tindakan yang tangkas. Matlamat akhirnya agama Allah ini kekal tertegak di bumi bertuah ini, dan umat yang mendukunginya hebat, bermartabat dan diberkati.

Tidak hairanlah Saidina Ali pernah berpesan, “Kebatilan yang terancang dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”. Bapa pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin pula mengatakan, “Jika anda gagal merancang, anda sedang merancang untuk gagal” (if you fail to plan, you are planning to fail).

Ayuhlah bersama kita menekuni seni dan pemikiran strategik dalam Islam yang mungkin selama ini kita terlepas pandang. Jadilah kita seorang strategis atau ahli strategi. Seorang yang prihatin tentang nasib agama, bangsa dan watannya, dan sentiasa berfikir, merancang, melaksana dalam segenap kemampuan dan menilai semula hasil didapati beserta langkah pembetulan.

Tidak kira siapa kita, seorang strategis tidak semestinya seorang pemimpin, pentadbir atau pemikir. Dia mungkin seorang profesional, penjawat awam, kakitangan korporat, ahli akademik, pelajar, ibu, bapa dan sebagainya. Bagi saya asalkan dia berminda kritis, inovatif, projektif dan konstruktif terhadap nasib umat ini.

Akhirnya dengan mengaplikasikan rangka tindakan yang strategik, kita akan menjadi umat yang terbaik seperti maksud firman Allah SWT “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kpad Allah (dengan sebenar-benar iman), Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (Tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasiq.” (Ali ‘Imran:110).

Untuk itu, blog akan menumpukan topik-topik penulisan seperti di bawah. Diharap ia dapat membantu kita menjadi manusia yang berfikiran, mampu merancang dan bertindak secara yang strategik. Antara topik perbincangan meliputi:
  1. Pemikiran Strategik Islam (PSI)
  2. Seni Perang Rasulullah SAW (SPR)
  3. Membuat Keputusan Kaedah Islam (MKI)
  4. Penyelidikan Secara Islam (PYI)
  5. Membuat Keputusan Konvensional (MKK)
  6. Blueprint Islam (BPI)
Topik-topik perbincangan insyaAllah akan diperkemaskan dari semasa ke semasa. Jadilah strategis umat! Selamat melayari blog ini.


Wal-Allah ‘Alam, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan