Peta Blog

Peta Blog

Selasa, 24 Februari 2015

Memahami Pemikiran Manusia

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Manusia adalah makhluk Allah SWT yang teristimewa kerana dikurniakan akal fikiran atau daya berfikir (minda). Akal bukan sekadar wujudnya fizikal-otak, tetapi secara batinnya; kebolehan menerima, memproses, memahami, menafsir maklumat yang diterima oleh pancaindera, malah dapat diolah dalam bentuk atau konsep yang baharu.

Aktiviti berfikir ini adalah suatu perlu bagi seorang manusia, apatah lagi sebagai seorang strategis. Allah SWT menyifatkan manusia yang menggunakan akal fikiran sebagai golongan ulul al-bab (orang yang berakal). Firman-Nya yang bermaksud “ …”

Pada amnya, otak fizikal seseorang manusia itu ada dua bahagian. Otak sebelah kiri untuk minda (pemikiran) logik, sementara otak kanan untuk minda (pemikiran) kreatif.

Dari dua bahagian otak ini, minda seseorang itu dapat dibahagikan kepada empat (4) pecahan (quadrants). Bahagian otak; kiri hadapan – untuk fungsi minda fakta (factual) dan analitik (analytical), kanan hadapan – untuk fungsi minda melihat masa hadapan (visionary), kiri belakang – untuk fungsi minda prosedur (procedural), dan kiri belakang – untuk fungsi minda yang emosi (emotional).

Sebagai seorang strategi kita harus memahami fungsi otok kita. Cara kita berfikir mestilah kaya dari sudut pelbagai dimensi. Kita harus menyedari bahawa terdapat pelbagai jenis minda (pemikiran) yang seharusnya difahami dan dikuasai.

Antaranya jenis pemikiran; kreatifkebolehan memikir membina benda baharu, konstruktifkebolehan memikir membina benda baharu atas perkara yang sudah ada, kritikalkebolehan memikir menegur sesuatu kelemah dan memberi alternatif, diagnostikkebolehan memikir dengan mengenal pasti akar sesuatu masalah, dan prognostikkebolehan memikir sesuatu akibat jika tiaa sebarang langkah diambil.

Keseluruhannya, ada 22 jenis cara pemikiran manusia. Antaranya pemikiran sistematik, idealistik, lateral, pragmatic, logikal, emotif, projektif, positif, reaktif dan sebagainya.

Pada satu-satu masa pemikiran kita dominan pada satu jenis pemikiran. Kita seharusnya bijak memilih jenis pemikiran yang sesuai mengikut keperluan situasi, masa dan tempat. Mengetahui perbezaan dan jenis pemikiran ini juga membolehkan kita memahami pemikiran orang di sekeliling kita. Ini amat membantu dalam perhubungan dan komunikasi.

Allah SWT tidak menjadikan apa juga perkara sia-sia, termasuklah jenis-jenis pemikiran yang pelbagai ini. Semuanya ada tempat dan kepentingannya bagi membantu manusia melayari kehidupan di dunia ini. Paling penting apa juga jenis cara fikir, ia harusnya untuk kebaikan diri, keluarga dan kemaslahatan umat ini.

Wassalam.

Beberapa Model Asas Aplikasi Pemikiran Strategik


Istilah-istilah Penting Dalam Pemikiran Strategik


Pemikiran Strategik Yang Islami

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Suatu soalan yang agak sinikal yang biasa dilontarkan apabila ada sesuatu inisiatif (usaha) baharu yang mahu dikaitkan dengan Islam, dimanakah Islamiknya usaha anda? Apakah usaha atau pencapaian sesuatu perkara sebelum ini tidak Islamik?

Subjek “Pengurusan Islam” dan “Pemikiran Strategik Islam” boleh menggamit polemik yang sama. Apakah bezanya dengan gaya “Pengurusan Konvensional” dan “Pemikiran Strategik” biasa? Di manakah letaknya nilai keIslaman sesuatu jenama dan pengisiannya?

Ada beberapa perkara yang pada hemat saya melayakkan sesuatu inisiatif pemikiran atau usaha itu dijelmakan sebagai Islam. Ia boleh dilihat pada:
    1. Matlamat baik sesuatu perkara
    2. Kaedah pelaksanaan yang baik
    3. Prinsip dan nilai yang Islamik
    4. Sumber rujukan yang benar
    5. Nilai keilmuan yang wujud 
Pertama; matlamat sesuatu inisitif adalah segalanya. Ia adalah niat atau tujuan sesuatu usaha itu. Dalam konteks Islam seharusnya apa juga inisiatif kita bermatlamatkan akhirnya untuk “pengabdian (beribadat) kepada Allah” dengan “memartabatkan Islam sebagai satu-satunya cara hidup”.

Secara amnya matlamat sesuatu perkara itu mestilah untuk kebaikan atau kemaslahatan diri, keluarga dan ummah, serta masyarakat lainnya. Jika ia bermatlamatkan kefasadan, kemaksiatan dan keuntungan dunia yang tidak berpenghujung, ia adalah terlarang dan tidak Islamik.

Secara lebih terarah, matlamat untuk sesuatu usaha mestilah dalam lingkungan menyantuni lima (5) aspek maqasid syariah (matlamat syariah). Allah SWT menurun ajaran agama Islam (syariat) adalah bagi tujuan untuk manusia itu memelihara agama (aqidah), nyawa (jiwa), akal (pemikiran), keturunan (zuriat) dan harta (mal).

Jika sebarang usaha dilakukan untuk untuk memelihara lima aspek tersebut daripada diganggu gugat, diceroboh dan dicemari, maka usaha tersebut pada asasnya bolehlah dianggap sudah Islamik.

Kedua ialah kaedah pelaksanaan. Barang diingat, awalapun matlamat yang baik sudah ada, namun ia tidak akan menghalalkan cara. Ini bermakna kaedah atau cara untuk mencapai matlamat tersebut mestilah baik, tidak memudaratkan, adil dan dalam lingkungan lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam. Jika cara untuk mencapainya baik dan bersesuaian maka ia adalah Islamik.

Ketiga ialah prinsip dan nilai yang dibawa mestilah bersandarkan Islam. Nilai-nilai yang baik seperti amanah, etika dan moral, ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah antara perkara penting yang boleh mendasari sesuatu inisiatif pengurusan atau pemikiran.

Misalnya dalam pemikiran untuk membuat keputusan, penggunaan kaedah atau prinsip fekah dalam penentuan sesuatu hukum boleh digunakan. Dalam blog ini ada ditampilkan sebahagian 250 kaedah membuat keputusan dalam Islam berdasarkan kaedah qawaid fikhiah.

Dengan menggunakan kaedah Islam seperti ini, kita berharap sebarang pemikiran atau keputusan yang diambil oleh kita bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam kerana ia telah dibina oleh para ilmuan Islam untuk membantu dalam pengeluaran hukum atau fatwa.

Keempat ialah sumber rujukan yang digunakan dalam mestilah kembali kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para ulama’. Inilah sumber pengambilan syariat dan pengeluaran hukum Islam yang benar. Dengan berpegang pada tiga (3) sumber rujukan ini, sebarang usaha yang dilakukan dengan sendirinya menepati kehendak Islam.

Dalam blog ini ada ditampilkan sebahagian daripada “Seni Peperangan Rasulullah SAW” sebagai sumber ikutan kita tentang pemikiran strategik. Dengan mencontohi Rasulullah SAW sebagai ikon pemikiran strategik melalui 28 ghazwah Baginda, kita berharap dapat mengikut sebahagian Sunnah Rasul yang begitu jarang ditekuni oleh kita.

Kelima ialah nilai keilmuan yang wujud sewaktu proses pemikiran dan usaha. Islam adalah agama berasaskan ilmu. Melalui ilmulah seseorang insan itu dapat keluar dari kegelapan dan kejahilan kepada sinar dan kebijaksanaan. Bahkan Islam juga mewajibkan ke atas umatnya agar menuntut ilmu, dari buaian hingga ke liang kahad, walaupun hingga ke negeri Cina!

Adakah kita akan dapat mempelajari ilmu agama di Cina? Mungkin tidak, tetapi kita akan dapat mempelajari ilmu-ilmu pengurusan dan penambahbaikan hidup yang lain dari tamadun-tamadun hebat tidak kira sama ada di Timur ataupun di Barat.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “hikmah itu adalah barang tinggalan yang dicari-cari oleh orang Mukmin, siapa sahaja yang menemuinya, maka dialah yang lebih berhak ke atasnya” (Riwayat Tirmizi)

Justeru sebarang bentuk pemikiran strategik untuk pengurusan hidup di dunia ini yang bersumberkan dari hikmah atau ilmu pengetahuan yang sahih adalah Islamik. Ilmu itu terlalu luas sifatnya dan mungkin telah digali oleh orang-orang bukan Islam dari pelbagai tamadun dan tempat. Kita boleh mengambil dan mengaplikasikannya akan terhindar dari kesesatan dan kemunduran.

Gabungan lima perkara yang dinyatakan iaitu; matlamat, kaedah, prinsip, sumber dan ilmu, insyaAllah membolehkan sebarang usaha yang kita lakukan adalah berpaksikan ajaran Islam dan menuju kepada redha Allah SWT jua.

Wassalam.

Pemikiran Strategik Islam: Salam Pengenalan

Assalamualaikum Semua

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad, yang membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab al-Quran serta hikmah untuk orang-orang beriman.

Blog ini ingin membawa para pembaca sekalian untuk menelusuri teori, seni dan praktik pemikiran yang strategik (strategic thinking) dalam kerangka dan perspektif Islam. Subjek ini di bawah subjek utama - Pengurusan Islam (Islamic Management) dan Pengurusan Strategik (Strategic Management).

Islam sebagai satu cara hidup yang syumul seharusnya bukan sekadar mengupas persoalan aqidah, syariat-ibadat khusus serta akhlak sahaja, malah mampu menterjemahkan persoalan syariat-mualamat dan pengurusan hidup seharian yang dinamik.

Umat Islam hari ini harus menguasai dan mempraktikkan pemikiran dan tindakan strategik dalam kehidupan seharian. Kita tidak mampu menjadi umat yang hanya menunggu dan sekadar respons bermusim bila perlu. Apatah lagi bila berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mempertikai dan merosakkan syariat serta aqidah yang kita imani.

Cabaran dan pertentangan sentiasa datang dari pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan Islam. Ia tidak akan pudar selagi ada bulan dan bintang. Kita diingatkan bahawa musuh nombor satu ialah syaitan yang telah bersumpah menyesatkan umat ini sehingga akhirat. Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya syaitan itu musuhmu, sebab itu kamu ambillah dia sebagai musuh. Dia hanya menyeru golongannya (pengikutnya), supaya mereka masuk neraka”. (Faathir:6).

Dalam bentuk manusia, wujud dua golongan utama iaitu Yahudi dan Nasrani. Allah SWT berfirman yang maksudnya Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka”. (al-Baqarah:120). Jika dahulu pertentangan wujud dalam bentuk fizikal; peperangan dan penaklukan, kini peperangan dalam bentuk serangan dan pengeliruan pemikiran pula.

Maka itu tidak hairanlah wujud pelbagai aliran pemikiran pasca moden dan penjajahan seperti pluralisme, liberalisme dan sekularisme. Ini ditambah lagi dengan cabaran pertembungan aliran pemikiran, pengamalan dan pemilihan bidang keutamaan yang berbeza dalam kalangan umat Islam sendiri. Persoalannya, apakah persiapan dan tindakan kita?

Saya yakin semuanya bermula dengan cara kita berfikir, sebelum menyusun agenda dan pelan bertindak. Perkataan “pemikiran” berasal daripada “fikir” iaitu 1. Ingatan, angan-angan, akal; 2. Anggapan, pendapat, sangka, kira (Kamus Dewan). “Pemikiran” adalah proses dan perihal berfikir iaitu penggunaan akal kurnian Allah untuk memahami, mengingati dan membuat tanggapan tentang perkara-perkara yang dicerap oleh pancaindera.

Perkataan “strategik” pula berasal daripada “startegi” iaitu 1. Ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak tanduk peperangan, taktik perang; 2. Siasat perang, taktik perang; 3. Siasat (muslihat) untuk mencapai sesuatu maksud; 4. Rancangan yang teratur yang memperhitungkan pelbagai faktor untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Kamus Dewan). Maka “strategik” bermaksud apa-apa perkara seperti pemikiran dan tindakan yang berdasarkan strategi; yang elok dan kena pada tempat, masa dan situasinya.

Fred R. David, dalam bukunya “Strategic Management” (2001), mendefinisikan Strategic Management sebagai “seni dan sains mengolah, melaksana dan menilai keputusan-keputusan merentasi pelbagai fungsi yang membolehkan sesebuah organisasi mencapai objektifnya.”

Justeru, pemikiran yang strategik adalah proses memahami situasi semasa dan memperhitungkan rancangan serta tindakan yang wajar, melalui bacaan maklumat dan aplikasi pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Harapannya jangkaan hasil atau dapatan akhir memenuhi matlamat.

Pemikiran strategik seharusnya bergerak dalam kitaran tiga komponen asas iaitu; merancang (planning), melaksana (implementing) dan menilai (evaluating), yang diikuti dengan penambahbaikan dalam perancangan semula.

Supaya pemikiran strategik ini berpaksikan Islam, tidak dapat tidak ia mesti bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, pandangan ulama’; mereka yang berautoriti serta ahli. Mereka yang berhak dan pakar akan membuat pertimbangan atas dasar tanggungjawab kerana Allah serta bersandarkan keilmuan yang luas. Ini termasuk juga ilmu-ilmu pemikiran dan pengurusan kontemporari yang bersesuaian.

Mutakhir ini pemikiran dan tindakan yang strategik umat Islam harus digarap. Ia berstatus amat penting dan segera melihatkan pada situasi cabaran semasa. Kita harus mampu menjangka tindakan lawan, merencana pelan yang bersifat defensif, ofensif, mitigasi dan kontigensi, serta disudahi dengan kuasa tindakan yang tangkas. Matlamat akhirnya agama Allah ini kekal tertegak di bumi bertuah ini, dan umat yang mendukunginya hebat, bermartabat dan diberkati.

Tidak hairanlah Saidina Ali pernah berpesan, “Kebatilan yang terancang dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”. Bapa pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin pula mengatakan, “Jika anda gagal merancang, anda sedang merancang untuk gagal” (if you fail to plan, you are planning to fail).

Ayuhlah bersama kita menekuni seni dan pemikiran strategik dalam Islam yang mungkin selama ini kita terlepas pandang. Jadilah kita seorang strategis atau ahli strategi. Seorang yang prihatin tentang nasib agama, bangsa dan watannya, dan sentiasa berfikir, merancang, melaksana dalam segenap kemampuan dan menilai semula hasil didapati beserta langkah pembetulan.

Tidak kira siapa kita, seorang strategis tidak semestinya seorang pemimpin, pentadbir atau pemikir. Dia mungkin seorang profesional, penjawat awam, kakitangan korporat, ahli akademik, pelajar, ibu, bapa dan sebagainya. Bagi saya asalkan dia berminda kritis, inovatif, projektif dan konstruktif terhadap nasib umat ini.

Akhirnya dengan mengaplikasikan rangka tindakan yang strategik, kita akan menjadi umat yang terbaik seperti maksud firman Allah SWT “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kpad Allah (dengan sebenar-benar iman), Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (Tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasiq.” (Ali ‘Imran:110).

Untuk itu, blog akan menumpukan topik-topik penulisan seperti di bawah. Diharap ia dapat membantu kita menjadi manusia yang berfikiran, mampu merancang dan bertindak secara yang strategik. Antara topik perbincangan meliputi:
  1. Pemikiran Strategik Islam (PSI)
  2. Seni Perang Rasulullah SAW (SPR)
  3. Membuat Keputusan Kaedah Islam (MKI)
  4. Penyelidikan Secara Islam (PYI)
  5. Membuat Keputusan Konvensional (MKK)
  6. Blueprint Islam (BPI)
Topik-topik perbincangan insyaAllah akan diperkemaskan dari semasa ke semasa. Jadilah strategis umat! Selamat melayari blog ini.


Wal-Allah ‘Alam, wassalam.